Showing posts with label KRIM. Show all posts
Showing posts with label KRIM. Show all posts

Thursday, February 4, 2016

Siri Jelajah ‘Say No To Vape Dan Rokok’: Vape Bukan Terapi Alternatif Untuk Mengurangkan Ketagihan Merokok

Oleh: Liyana Sulaiman

TELIPOK , 1 Feb: “Isu-isu sosial remaja kebanyakkannya bermula dengan rokok dan vape. Didorongi ketagihan dan pengaruh rakan-rakan sebaya yang tidak baik, remaja mula belajar mencuri, ponteng kelas, melawan cakap ibu bapa, guru dan akhirnya mengambil dadah.” Begitulah sebahagian perkongsian Dr Aliff Asyraf dalam program ‘Say No To Rokok dan Vape’ yang telah dijalankan pada Isnin yang lalu, bertempat di SMK Pekan Telipok. Ceramah ini adalah anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) Sabah, dengan kerjasama SMK Pekan Telipok  dan I-Medik Sabah.


Dr. Aliff Asyraf merupakan Pegawai Perubatan Siswazah Hospital Queen Elizabeth dan juga merupakan aktivis I-Medik Sabah.

“Munurut laporan yang dikeluarkan World Health Organization (WHO) dan Federal Drug Association (FDA) Amerika Syarikat, tiada bukti yang menunjukkan vape sebagai satu terapi alternatif untuk mengurangkan ketagihan merokok. Menurut agensi-agensi ini juga, adalah menjadi satu kesalahan undang-undang bagi mana-mana syarikat pengeluar vape yang mengatakan bahawa penggunaan vape lebih selamat berbanding rokok,” ujarnya lagi.

Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk meberi kesedaran kepada para pelajar tentang bahaya rokok dan rokok elektronik atau vape yang kini digilai oleh golongan remaja. Selain itu, para pelajar juga diberi motivasi dan galakan untuk berhenti merokok (bagi yang merokok) dan diajar tips untuk mengelakkan daripada terjebak dalam gejala tersebut.


Program turut dimeriahkan dengan sesi tayangan video, demonstrasi eksperimen kecil bahaya rokok dan sesi interaksi bersama pelajar termasuk kuiz dan perkongsian pendapat. Program ini bukan sahaja menarik minat pelajar malah turut mendapat sambutan yang menggalakkan dan respon yang positif daripada barisan pendidik SMK Telipok.

Tahniah diucapkan kepada KRIM, I-Medik Sabah dan SMK Pekan Telipok atas program yang bermanfaat ini.

Sayangi remaja kerana mereka tunggak kepimpinan negara pada masa akan datang. Say No To Vape & Rokok!

KLS Sabah 2016: Bimbing Remaja Pilih Hala Tuju Selepas Sekolah

Oleh: Aliff Asyraf


BUKIT PADANG, 31 Jan – Karnival Lepasan Sekolah (KLS) Sabah bagi tahun 2016 telah berlangsung dengan jayanya pada hari Ahad yang lepas, bertempat di Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu (SMAKK). Program ini adalah anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) Sabah dengan kerjasama PIBG Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu (SMAKK) dan juga Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kota Kinabalu, dengan sokongan I-Guru dan I-Medik Sabah.

Program yang berlangsung selama satu hari ini telah disertai oleh 200 orang pelajar lepasan SPM dan STPM dari seluruh negeri Sabah. Antaranya pelajar SMK Tansau  Penampang, SMK Pekan Telipok, SMK Kinarut, SMK Pulau Gaya, SMK Kudat (2), SMKA Tun Said Kota Belud, SMK Kundasang, SM Islam Tambunan, SMK Lohan Ranau, SMK Sri Nangka Tuaran, SMK Badin Tuaran dan juga SM Sains Sabah.

Pengarah program, Dr. Aliff Asyraf berucap dalam majlis perasmian, “KLS adalah program mega anjuran KRIM dan turut dilaksanakan di cawangan-cawangan KRIM seluruh negara. Tujuan utama KLS ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang hala tuju kehidupan selepas tamat persekolahan dan juga sebagai pendedahan awal kehidupan sebagai seorang mahasiswa universiti. Selain itu, KLS juga adalah medium perkongsian pengalaman antara tokoh mahasiswa dan pelajar supaya mereka dapat mengekalkan kecemerlangan ketika di universiti nanti.”

Antara aktiviti yang dijalanakan adalah sesi motivasi yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Fahnan, pakar motivasi remaja dengan tajuk ‘Hala Tuju Selepas Sekolah’. Perkongsian selama 1 jam 30 minit ini banyak memberikan gambaran hala tuju hidup selepas sekolah dan motivasi untuk memanfaatkan dan merancang  masa cuti dengan sebaiknya sebelum melangkah ke IPT. Selain sesi motivasi, KRIM Sabah turut menjemput Puan Sabriah Maili, Ahli Jawatankuasa Majlis Guru Binbingan dan Kaunseling Sabah, Encik Mohd Redzuan, Pegawai Pelajaran dan Biasiswa Sabah dan Cik Puan Jumriati binti Abdullah,  Pengurus Aman Palestin Cawangan Sabah untuk menjelaskan tentang peluang-peluang pengajian dan kerjaya, cara untuk memohon biasiswa (khususnya biasiswa Yayasan Sabah) dan tips penampilan, pemakaian serta cara terbaik untuk menjawab soalan ketika sesi temuduga.


Aktiviti lain yang turut menarik minat peserta adalah sesi forum yang bertajuk ‘Survival Kampus’. Forum ini telah dikendalikan oleh Dr. Aliff Asyraf, Pegawai Perubatan Siswazah Hospital Queen Elizabeth dan menampilkan beberapa orang tokoh mahasiswa seperti Cik Puan Waheedatul Husna, graduan dan pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang memperolehi Anugerah Thesis Terbaik Master UMS 2015 dan Ustaz Amin bin Ribbang, graduan Universiti Malaya (UM) dalam bidang pengajian Islam dengan Anugerah Kecemerlangan dan Tokoh Belia PEMBINA 2013. Forum ini turut menampilkan Ustaz Dr Sarip bin Adul, pensyarah Pusat Perantaraan & Bahasa (PPPIM) UMS dan pemegang phD Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Forum yang berlangsung selama dua jam ini banyak berkisar tentang nasihat dan perkongsian hidup di university, dalam dan luar negara serta persediaan fizikal, mental dan spiritual sebelum menjadi mahasiswa.

Majlis penutup dirasmikan oleh Pengetua Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu (SMAKK) sebagai sekolah tuan rumah. Dalam ucapannya, beliau gembira dengan program KLS yang memberikan seribu satu manfaat kepara para pelajar. Beliau berharap kerjasama antara pihak sekolah dengan KRIM Sabah dan ISMA Kota Kinabalu dapat diteruskan lagi di masa-masa akan datang.

Tahniah kepada para peserta KLS, ahli KRIM Sabah, barisan AJK, warga SMAKK dan semua yang terlibat. InshaAllah, kita berjumpa lagi dalam Karnival Lepasan SPM di masa akan datang!

Thursday, November 12, 2015

JIRIM | Ke Arah Melahirkan Remaja Berkualiti


KOTA KINABALU, 11 November 2015: Perkhemahan Jambori Remaja Muslim (JIRIM) anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) dengan kerjasama pihak Sekolah Menengah Datuk Peter Majuntin serta Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UMS telah berlangsung pada 7-8 November yang lalu bertempat di Permai D' Valley, Ratau, Tobobon, Sabah. Program yang disertai oleh 53 orang peserta dalam kalangan tingkatan satu hingga empat dari Sekolah Menengah Datuk Peter Majuntin, Penampang ini merupakan program yang julun-julung kali diadakan. Selain merealisasikan moto "Motivasi, Iltizam, Jatidiri", program ini juga menekankan aspek pembentukan akidah yang sejahtera dan pemuda yang berakhlak mulia.


"Alhamdulillah, program ini berjaya dilaksanakan walaupun masa persiapan yang sangat singkat. Akan tetapi, kerana niat, azam dan semangat yang tinggi, Allah telah mudahkan pengurusan perkhemahan kita pada kali ini. Moga dengan penganjuran program seperti ini, akan mengurangkan masalah disiplin di sekolah dan dapat melahirkan pelajar yang berjaya di dunia dan di akhirat" ujar Pn. Nurani Fauziah Derin, Pengetua Sekolah Menengah Datuk Peter Majuntin, di dalam ucapan perasmian penutupan JIRIM 2015.



Program ini juga turut dibantu oleh 13 orang fasilitator daripada Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Universiti Malaysia Sabah, diketuai oleh Saudari Syifa' Bt Sarip dan Saudara Amiruddin Bin Mohd Shah selaku Kem Komander JIRIM 2015.



Program ini mendapat respon yang amat positif dari kalangan guru-guru dan juga para pelajar. Semoga program seperti ini dapat menghasilkan golongan remaja yang berkualiti untuk menjadi seorang pemimpin negara dan ummah pada masa hadapan.

Thursday, September 17, 2015

Fit n Fun 3 Pupuk Remaja Miliki Tubuh Badan Sihat




PUTATAN, 13 September: “Qawiyyul jismy ataupun sihat tubuh badan adalah salah satu aspek penting dalam membentuk remaja berkualiti harapan negara,” ujar Pengarah Program Fit n Fun 3, Cikgu Afshan bin Muhammad.

Fit n Fun 3 merupakan salah satu pakej daripada pakej keseluruhan program Akademi Kelab Remaja ISMA (ARK). Fit n Fun kali ini yang telah diadakan di Arena Juara Futsal, Putatan telah mempertandingkan dua sukan utama iaitu futsal dan bola jaring dan dimeriahkan dengan kehadiran 42 orang peserta.

Cikgu Afshan yang juga merupakan aktivis Kelab Remaja ISMA (KRIM) turut berkata, “Objektif program kali ini adalah untuk mengetengahkan bakat yang dimiliki oleh para peserta dan juga untuk memahamkan remaja pentingnya memiliki tubuh badan yang sihat. Selain itu, Fit n Fun 3 juga ingin memupuk semangat kerjasama dalam kalangan ahli kumpulan yang rata-ratanya dari sekolah yang berbeza.”

Sehingga kini, enam buah sekolah telah mengikuti program ARK anjuran KRIM Sabah iaitu SMK Pekan Telipok, SMK Tansau, SMKA Kota Kinabalu, SMKA Limauan, SMK Pulau Gaya dan SMK Nambayan.

Melihat kepada perkembangan yang positif ini, Yang Dipertua ISMA Kota Kinabalu, Ustaz Dr Sarip bin Adul berucap dalam majlis penutup, “ISMA meletakkan harapan yang tinggi kepada para peserta ARK agar mampu menjadi role model kepada remaja di luar sana. InsyaAllah kita akan terus mengadakan program sebegini untuk membentuk remaja berkualiti tunggak negara.”

Gambar sepanjang program berlangsung:







                                                                                      

Saturday, August 29, 2015

Ceramah "Say No to Vape & Rokok" di SMK Tansau

PENAMPANG, 28 Ogos: Sempena Program Pendidikan Pencegahan Dadah, Kelab Remaja ISMA (KRIM) Kota Kinabalu di bawah pimpinan Ustaz Amin Ribang, dengan kerjasama Unit Disiplin dan Unit Bimbingan Kaunseling SMK Tansau, Penampang dan juga I-Medik Sabah telah menganjurkan program ceramah 'Say No to Vape & Rokok' pada 27 Ogos yang lalu. Program yang bertempat di Dataran Datin Patimah SMK Tansau, Penampang itu telah disertai oleh 150 orang pelajar Tingkatan Satu, Dua dan Empat. Ceramah 'Say No to Vape & Rokok' yang disampaikan oleh Dr Aliff Asyraf, Pegawai Perubatan Siswazah Hospital Queen Elizabeth ini diadakan bertujuan untuk memberikan kesedaran tentang bahaya dan kesan daripada pengambilan vape dan rokok. Selain itu, program ini turut diadakan untuk menyedarkan remaja tentang betapa pentingnya peranan mereka dalam mempertahankan identiti negara Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Dr Aliff Asyraf yang juga merupakan aktivis I-Medik Sabah telah berkata dalam ceramahnya, “Ramai yang menyangka vape ini adalah salah satu cara untuk berhenti merokok. Akan tetapi, bahan-bahan yang digunakan dalam rokok juga terdapat dalam vape. Sehingga hari ini, tiada bukti yang kukuh pun bahawa vape lebih selamat daripada rokok. Cara untuk berhenti merokok adalah bermula dengan kesedaran diri sendiri tentang bahaya dan ketagihan yang akan berlaku.”

Ustaz Muhammad Amin bin Ribang pula dalam ucapan pembukaannya berkata “KRIM sangat serius dalam melahirkan remaja-remaja yang berakhlak mulia dan menggarap potensi remaja yang ada untuk membantu kawan-kawan dan juga keluarga. Kita dihebohkan dengan isu vape, yang kononnya satu alternatif untuk berhenti merokok. Akan tetapi, isu ini bukan sekadar membahayakan kesihatan, bahkan ia juga merosakkan imej peribadi seseorang yang mengamalkan gaya hidup tersebut.” KRIM akan mengadakan program susulan dari semasa ke semasa. Semoga dengan program ini dapat melahirkan remaja yang mempunyai matlamat yang tinggi dan berimej baik. Sebarang pertanyaan berkaitan dengan Kelab Remaja ISMA (KRIM) sila hubungi Ustaz Amin bin Ribang di talian: 014-8415638.

Tuesday, August 18, 2015

'Ledakan Potensi Diri' Tema Keempat Pakej Akademi Remaja KRIM Kota Kinabalu





KOTA KINABALU, 17 Ogos: Program Zero To Hero anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) Cawangan Kota Kinabalu telah diaadakan pada 16 Ogos 2015 yang lalu. Program ini merupakan aktiviti keempat dari pakej Akademik Remaja KRIM (ARK) dan telah diadakan di pejabat ISMA Kota Kinabalu, Kingfisher.

Bertemakan ‘Ledakkan Potensi Diri’, program ini berjaya menarik penyertaan seramai 43 orang. Seperti pakej-pakej sebelumnya, objektif utama pakej ARK ini adalah melahirkan generasi remaja yang berperibadi unggul, bertunjangkan iltizam, motivasi dan jati diri mantap.

Menurut saudari She Rada Oyong, peserta ARK 2015, “Program Zero To Hero tidak pernah mengecewakan. Kali ini, saya telah mampu mengenal potensi diri dan tujuan hidup yang sebenar. Aktiviti-aktiviti yang diadakan sepanjang program juga sangat menarik, menyebabkan saya mengikuti semua pakej yang telah diadakan.”

Dalam pakej keempat ini, peserta Zero To Hero telah disajikan dengan dua slot yang sangat menarik iaitu ‘Kenali Potensi Diri’ pada slot pertama yang telah disampaikan oleh Ustaz Fahnan, seorang penceramah bebas yang terkenal di Sabah. Slot kedua pula, iaitu sesi forum telah disampaikan dua oleh aktivis ISMA, iaitu saudari Wahidatul Husna Zuldin dan saudara Umair Abdullah.

Ujar saudara Umair bin Abdullah dalam penutup forum, “Adik-adik perlu sentiasa betulkan matlamat hidup. Kalau kita letakkan dunia sebagai landasan untuk menuju akhirat, insyaAllah, Allah akan bantu adik-adik untuk cemerlang dalam semua bidang yang adik-adik ceburi. Saya berharap adik-adik di depan saya ini akan berjaya dan menjadi pemuda harapan ummah seperti Sultan Muhammad Al-Fateh dan pemuda-pemuda lain di zaman Rasulullah SAW.”

Monday, August 3, 2015

Misi Hud-Hud Menjadi Pemangkin Program Fit n Fun 1




KOTA KINABALU, 4 Ogos: Kelab Remaja ISMA (KRIM) Cawangan Kota Kinabalu telah mengadakan Program Fit n Fun 1 pada 1 Ogos 2015 yang lalu. Aktiviti ketiga dari Akademi Remaja KRIM (ARK) telah telah diteruskan dengan aktiviti jungle trekking yang bertempat di Pantai ODEC, Universiti Malaysia Sabah. 


Bertemakan 'Misi Mencari Hud-Hud', program ini melibatkan seramai 47 orang peserta yang kebanyakannya sudah mengikuti dua program ARK sebelum ini. Objektif Fit N Fun dilaksanakan adalah untuk meningkatkan kesihatan tubuh badan, mengeratkan ukhuwwah serta menerapkan unsur-unsur kerohanian kepada peserta. 



Ujar Pengarah Fit N Fun 1, Cik Wafa' bt Sarip, dalam ucapan penutupan, "Remaja perlu mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang berfaedah termasuklah bersukan. Hal ini kerana, Imam Hassan Al-Banna telah meletakkan tubuh badan yang kuat sebagai salah satu sifat yang perlu ada pada seorang muslim." Kata beliau lagi, "Seorang pemimpin yang sejati haruslah mempunyai 10 muwasofat tarbiyah. Seandainya salah satu daripadanya tiada, maka negara tersebut akan mudah diancam bahaya."



Program tersebut mendapat sambutan yang sangat baik daripada pihak peserta serta ibu bapa. Semoga dengan program seperti ini dapat membuka mata ibu bapa untuk lebih menghantar anak mereka ke program yang berfaedah bagi membentuk remaja yang produktif dan berguna untuk agama, bangsa dan negara. 



Nantikan pakej seterusnya dari Akademi Remaja KRIM (ARK) iaitu From Zero To Hero.

Monday, June 29, 2015

Ramadan Outreach Anjuran KRIM Ceriakan Suasana Ramadan di Hospital Likas



KOTA KINABALU, 28 Jun: Seramai 37 pelajar tingkatan 4 terdiri dari 13 orang pelajar lelaki dan 24  orang pelajar perempuan telah menyertai program Ramadan Outreach anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) Cawangan Kota Kinabalu yang berlansung pada 27 Jun yang lalu.

Ramadan Outreach merupakan salah satu pakej daripada projek terbaru KRIM iaitu Akademi Remaja KRIM (ARK) yang turut berlangsung di 27 cawangan KRIM seluruh Malaysia. Tujuan utama ARK adalah untuk melahirkan remaja yang berwibawa, mempunyai jati diri Islam yang hebat dan menjadi remaja yang hidup dalam erti kata hidup dalam kalangan masyarakat. 

Ramadan Outreach kali ini diadakan di Wad Kanak-Kanak, Hospital Likas, Sabah. Antara program yang dilakukan ialah aktiviti mewarna, melukis, membaca buku dan aktiviti indoor yang lain. Peserta juga turut mengedarkan sumbangan berbentuk makanan kepada pesakit, waris pesakit, pelawat dan juga kakitangan hospital. 

Menurut Pengarah KRIM Kota Kinabalu, Ustaz Amin Ribbang, ketika ditemui berkata, "KRIM sangat komited dalam menjadikan remaja-remaja Islam sebagai agen pembangunan Islam di Sabah kelak. KRIM juga percaya dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya, remaja merupakan permata masyarakat yang perlu digilap untuk bersinar pada masa hadapan."

ARK akan kembali dengan pakej yang kedua iaitu BADAR yang bakal berlansung tidak lama lagi. KRIM mengucapkan setinggi penghargaan kepad pihak hospital, ahli jawatankuasa KRIM serta peserta ARK. Semoga ianya akan bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara.

Thursday, June 25, 2015

Ramadhan Outreach Membuka Peluang Anda Menyumbang

Assalamualaikum dan Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak 1436H.

“Rasulullah SAW adalah manusia paling dermawan. Dan beliau lebih demawan ketika di bulan Ramadhan…” (HR. al-Tirmidzi dari Anas)

Sedang merancang untuk mencontohi Rasulullah dengan memperbanyakkan infaq tetapi tidak pasti di mana salurannya?
Usah khuatir! Kami disini untuk membantu anda.
KRIM Kota Kinabalu dengan kerjasama I-GURU dan I-MEDIK akan mengadakan program Ramadhan Outreach ke Hospital Likas pada 27 Jun 2015 bersamaan dengan 10 Ramadhan 1436H dan kami memerlukan sumbangan dari anda untuk menjayakannya.
Antara bentuk sumbangan yang diperlukan adalah:
1. Sukarelawan (pelajar sekolah menengah)
2. Wang tunai
3. Barang keperluan asas (sesuai untuk kanak-kanak)
4. Baju raya (saiz kanak-kanak)

Sila hubungi :
- Iffah Fadhilah : 011-32136560

Monday, June 22, 2015

KRIM Kota Kinabalu Bakal Melahirkan Pemuda "From Zero To Hero'



TELIPOK, 22 Jun: Pada 19 Jun yang lalu, Kelab Remaja ISMA (KRIM) Kota Kinabalu telah mengadakan Program ‘From Zero To Hero’ di SMK Pekan Telipok, Tuaran. Program ini dianjurkan khusus buat pelajar Tingkatan Empat.

            Antara objektif program ini diadakan adalah untuk program ini bertujuan untuk memberi motivasi kepada remaja Islam berkaitan dengan matlamat penciptaan yang sebenar. Selain itu, program ini bertujuan untuk memperkenalkan projek terbaru KRIM iaitu Akademi Remaja Islam (ARK) kepada pelajar yang berumur 16 tahun di sekitar kawasan Kota Kinabalu. Hal ini kerana, Islam memerlukan pemuda-pemuda Islam yang hebat bagi menyambung deligasi perjuangan risalah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.

            Ustaz Sarip bin Adul, YDP ISMA Kota Kinabalu, telah berkata dalam ceramahnya yang bertajuk ’From Zero To Hero’, “Buat anak-anak yang berasal dari latar belakang keluarga yang sederhana atau susah, sentiasalah berusaha dengan lebih gigih untuk memperbaiki taraf kehidupan keluarga anda. Janganlah disia-siakan masa mudamu, kerana masa remaja adalah masa yang bernilai dalam kehidupan seseorang manusia.” Program ini mendapat sambutan yang memberansangkan dari kalangan pelajar.

Program sebegini mungkin kecil nilainya pada mata seorang daie, namun dinilai sebagai sesuatu yang amat berharga pada mata kaca Muslim terutamanya di Sabah. Hal ini kerana, para remaja Muslim khusunya perlu didedahkan dengan matlamat hidup yang sebenar supaya dapat melahirkan seorang Muslim yang berguna buat agama, bangsa dan negara.

Semoga usaha kecil ini dapat menjadi salah satu aset untuk kita ke syurga. Tahniah KRIM Kota Kinabalu! 

Sunday, June 14, 2015

Program ‘Say No To Zina’ Wasilah Pembentukan Pemuda


 

KOTA KINABALU, 29 Mei: Program ‘Say No To Zina’ anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) dengan kerjasama Ikatan pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Sabah telah berlansung pada 26 Mei yang lalu, bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Tansau, Putatan, Sabah. Program ini telah disertai oleh 168 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Tingkatan Tiga dan Empat.

Ustaz Muhammad Amin Ribbang, ketika ditemui berkata, “Objektif utama kita menganjurkan program ‘Say No To Zina’ ini adalah untuk memberi kesedaran tentang bahaya zina kepada remaja dari aspek kesihatan, agama dan sosial. Selain itu, kita juga ingin menyedarkan para remaja bahawa zina itu boleh dicegah dan dielakkan. Dan pencegahan ini tidak akan berjaya tanpa usahasama antara ibu bapa, sekolah, badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan serta masyarakat.” Ustaz Muhammad Amin Ribbang merupakan guru yang bertugas di SMK Tansau, merangkap pengarah program ‘Say No To Zina’.

“Analisa kes buang bayi yang berlaku di Malaysia dari tahun 2010 sehingga kini menunjukkan peratusan kes yang berlaku semakin meningkat dari tahun ke tahun. Kalau perkara ini dibiarkan, pastilah akan memburukkan imej agama dan negara. Jadi, kita harap program ini dapat membantu remaja untuk lebih memahami tentang pengharaman zina dan syariat-syariat Allah,” ujar Dr Amirah Ab Jalil, selaku wakil I-Medik Sabah, yang turut hadir memeriahkan majlis.

Program ini turut menampilkan saudari Iffah Fadhilah, graduan Universiti Sungkyunkwan, Korea dan Ustaz Amin Ribbang sendiri dalam forum ‘Say No To Zina’ yang dikendalikan oleh Ustazah Wafa’ Sarip, graduan Darul Quran. Ketiga-tiganya adalah aktivis KRIM Kota Kinabalu dan contoh peribadi remaja cemerlang

Program berakhir tepat jam satu petang. Program ini mendapat respon yang amat positif dari kalangan guru-guru dan juga para pelajar. Semoga program seperti ini dapat menghasilkan golongan remaja yang berkualiti untuk menjadi seorang pemimpin negara dan ummah pada masa hadapan.