Showing posts with label I-Medik. Show all posts
Showing posts with label I-Medik. Show all posts

Sunday, February 21, 2016

Ganja Beri Impak Besar Ke Atas Ekonomi Negara

Oleh: Dr Abdul Rahman bin Ramdzan

Ganja adalah sejenis bahan kimia yang diharamkan oleh kebanyakan negara di seluruh dunia. Penggunaan ganja bukan sahaja boleh memudaratkan kesihatan, namun ianya mempunyai implikasi yang besar ke atas ekonomi negara. Salah satu kesan utama penggunaan ganja adalah ketagihan kepada penggunanya.

Di Malaysia, statisktik yang telah dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan menunjukkan penyalahgunaan ganja pada tahun 2014 adalah sebanyak 1,919 kes, menjadikannya sebagai jenis dadah yang ketiga selepas Opiat dan Methamphetamin.

Dalam satu kajian yang telah dijalankan di Amerika Syarikat, iaitu Drug Abuse Treatment Cost Analysis Program (DATCAP)
dalam jurnalnya Journal of Substance Abuse Treatment telah membuktikan bahawa penggunaan ganja akan membebankan ekonomi negara bagi memulihkan kesan buruk daripada penggunaan ganja.

Dalam kajian mereka, kos yang diperlukan di Amerika Syarikat bagi pemulihan untuk setahun adalah sebanyak $1, 869,042. Kos ini diperlukan untuk perkara-perkara seperti penyelenggaraan methadon, rawatan intensif, komuniti terapi dan lain-lain lagi.

Hal ini menunjukkan bahawa kos yang tinggi diperlukan bagi mengatasi impak yang disebabkan penggunaan ganja. Kos yang tinggi ini hanya untuk memulihkan penagih-penagih sahaja manakala kerosakan harta benda dan ketenteraman awam masih belum dikira kos pemulihannya.

Berdasarkan kajian ini, saya berpendapat adalah tidak wajar bagi pemindaan undang-undang untuk penggunaan ganja dari tersenarai sebagaidadah terlarang. Kenyataan ahli pemuda UMNO, Syed Rosli Jamalullail yang meminta kerajaan membenarkan penggunaan ganja di Malaysia bagi menghilangkan tekanan kos sara hidup jika diterima, maka ia akan menambahkan beban negara sahaja.

Saya menyokong kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam yang berkata pindaan undang-undang untuk membenarkan penggunaan ganja dalam masyarakat bukan satu keperluan kepada negara walaupun Belanda dan beberapa negara telah melaksanakannya.

Dalam ajaran Islam, Allah melarang hambanya mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. Sepertimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 195, yang bermaksud Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik. Berdasarkan ayat ini, ganja yang memberi lebih banyak keburukan daripada kebaikan haruslah dilarang penggunaannya.

Justeru, saya menyokong bahawa pindaan undang-undang untuk membenarkan penggunaan ganja dalam masyarakat bukan satu keperluan dan memerlukan kajian yang mendalam sebelum ia dilaksanakan.













Dr Abdul Rahman Ramdzan
Pengerusi I-Medik Sabah
Master student Of Public Health
Universiti Malaysia Sabah

Thursday, February 4, 2016

Siri Jelajah ‘Say No To Vape Dan Rokok’: Vape Bukan Terapi Alternatif Untuk Mengurangkan Ketagihan Merokok

Oleh: Liyana Sulaiman

TELIPOK , 1 Feb: “Isu-isu sosial remaja kebanyakkannya bermula dengan rokok dan vape. Didorongi ketagihan dan pengaruh rakan-rakan sebaya yang tidak baik, remaja mula belajar mencuri, ponteng kelas, melawan cakap ibu bapa, guru dan akhirnya mengambil dadah.” Begitulah sebahagian perkongsian Dr Aliff Asyraf dalam program ‘Say No To Rokok dan Vape’ yang telah dijalankan pada Isnin yang lalu, bertempat di SMK Pekan Telipok. Ceramah ini adalah anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) Sabah, dengan kerjasama SMK Pekan Telipok  dan I-Medik Sabah.


Dr. Aliff Asyraf merupakan Pegawai Perubatan Siswazah Hospital Queen Elizabeth dan juga merupakan aktivis I-Medik Sabah.

“Munurut laporan yang dikeluarkan World Health Organization (WHO) dan Federal Drug Association (FDA) Amerika Syarikat, tiada bukti yang menunjukkan vape sebagai satu terapi alternatif untuk mengurangkan ketagihan merokok. Menurut agensi-agensi ini juga, adalah menjadi satu kesalahan undang-undang bagi mana-mana syarikat pengeluar vape yang mengatakan bahawa penggunaan vape lebih selamat berbanding rokok,” ujarnya lagi.

Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk meberi kesedaran kepada para pelajar tentang bahaya rokok dan rokok elektronik atau vape yang kini digilai oleh golongan remaja. Selain itu, para pelajar juga diberi motivasi dan galakan untuk berhenti merokok (bagi yang merokok) dan diajar tips untuk mengelakkan daripada terjebak dalam gejala tersebut.


Program turut dimeriahkan dengan sesi tayangan video, demonstrasi eksperimen kecil bahaya rokok dan sesi interaksi bersama pelajar termasuk kuiz dan perkongsian pendapat. Program ini bukan sahaja menarik minat pelajar malah turut mendapat sambutan yang menggalakkan dan respon yang positif daripada barisan pendidik SMK Telipok.

Tahniah diucapkan kepada KRIM, I-Medik Sabah dan SMK Pekan Telipok atas program yang bermanfaat ini.

Sayangi remaja kerana mereka tunggak kepimpinan negara pada masa akan datang. Say No To Vape & Rokok!

KLS Sabah 2016: Bimbing Remaja Pilih Hala Tuju Selepas Sekolah

Oleh: Aliff Asyraf


BUKIT PADANG, 31 Jan – Karnival Lepasan Sekolah (KLS) Sabah bagi tahun 2016 telah berlangsung dengan jayanya pada hari Ahad yang lepas, bertempat di Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu (SMAKK). Program ini adalah anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) Sabah dengan kerjasama PIBG Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu (SMAKK) dan juga Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kota Kinabalu, dengan sokongan I-Guru dan I-Medik Sabah.

Program yang berlangsung selama satu hari ini telah disertai oleh 200 orang pelajar lepasan SPM dan STPM dari seluruh negeri Sabah. Antaranya pelajar SMK Tansau  Penampang, SMK Pekan Telipok, SMK Kinarut, SMK Pulau Gaya, SMK Kudat (2), SMKA Tun Said Kota Belud, SMK Kundasang, SM Islam Tambunan, SMK Lohan Ranau, SMK Sri Nangka Tuaran, SMK Badin Tuaran dan juga SM Sains Sabah.

Pengarah program, Dr. Aliff Asyraf berucap dalam majlis perasmian, “KLS adalah program mega anjuran KRIM dan turut dilaksanakan di cawangan-cawangan KRIM seluruh negara. Tujuan utama KLS ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang hala tuju kehidupan selepas tamat persekolahan dan juga sebagai pendedahan awal kehidupan sebagai seorang mahasiswa universiti. Selain itu, KLS juga adalah medium perkongsian pengalaman antara tokoh mahasiswa dan pelajar supaya mereka dapat mengekalkan kecemerlangan ketika di universiti nanti.”

Antara aktiviti yang dijalanakan adalah sesi motivasi yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Fahnan, pakar motivasi remaja dengan tajuk ‘Hala Tuju Selepas Sekolah’. Perkongsian selama 1 jam 30 minit ini banyak memberikan gambaran hala tuju hidup selepas sekolah dan motivasi untuk memanfaatkan dan merancang  masa cuti dengan sebaiknya sebelum melangkah ke IPT. Selain sesi motivasi, KRIM Sabah turut menjemput Puan Sabriah Maili, Ahli Jawatankuasa Majlis Guru Binbingan dan Kaunseling Sabah, Encik Mohd Redzuan, Pegawai Pelajaran dan Biasiswa Sabah dan Cik Puan Jumriati binti Abdullah,  Pengurus Aman Palestin Cawangan Sabah untuk menjelaskan tentang peluang-peluang pengajian dan kerjaya, cara untuk memohon biasiswa (khususnya biasiswa Yayasan Sabah) dan tips penampilan, pemakaian serta cara terbaik untuk menjawab soalan ketika sesi temuduga.


Aktiviti lain yang turut menarik minat peserta adalah sesi forum yang bertajuk ‘Survival Kampus’. Forum ini telah dikendalikan oleh Dr. Aliff Asyraf, Pegawai Perubatan Siswazah Hospital Queen Elizabeth dan menampilkan beberapa orang tokoh mahasiswa seperti Cik Puan Waheedatul Husna, graduan dan pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang memperolehi Anugerah Thesis Terbaik Master UMS 2015 dan Ustaz Amin bin Ribbang, graduan Universiti Malaya (UM) dalam bidang pengajian Islam dengan Anugerah Kecemerlangan dan Tokoh Belia PEMBINA 2013. Forum ini turut menampilkan Ustaz Dr Sarip bin Adul, pensyarah Pusat Perantaraan & Bahasa (PPPIM) UMS dan pemegang phD Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Forum yang berlangsung selama dua jam ini banyak berkisar tentang nasihat dan perkongsian hidup di university, dalam dan luar negara serta persediaan fizikal, mental dan spiritual sebelum menjadi mahasiswa.

Majlis penutup dirasmikan oleh Pengetua Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu (SMAKK) sebagai sekolah tuan rumah. Dalam ucapannya, beliau gembira dengan program KLS yang memberikan seribu satu manfaat kepara para pelajar. Beliau berharap kerjasama antara pihak sekolah dengan KRIM Sabah dan ISMA Kota Kinabalu dapat diteruskan lagi di masa-masa akan datang.

Tahniah kepada para peserta KLS, ahli KRIM Sabah, barisan AJK, warga SMAKK dan semua yang terlibat. InshaAllah, kita berjumpa lagi dalam Karnival Lepasan SPM di masa akan datang!

Thursday, January 21, 2016

I-Medik Sabah Sokong Pengharaman Vape

Ikatan pengamal perubatan & sains kesihatan (I-medik)  cawangan Sabah menyokong sepenuhnya tindakan kerajaan negeri Sabah yang mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape di negeri ini.



Pengerusinya, Dr Abdul Rahman Bin Ramdzan berkata keputusan Jawatankuasa Fatwa Sabah  mengharamkan penggunaan shisha, rokok elektronik atau vape adalah amat wajar demi menunaikan maqasid syariah dalam menjaga nyawa, harta dan keturunan masyarakat.

Penggunaan alatan terbabit sememangnya akan memudaratkan tubuh badan sama adadalam jangka masa pendek ataupun panjang.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar yang mengambil keputusan  pengharaman vape selepas hasil perbincangan 10 ahli Majlis Fatwa Negeri mengenai penggunaan peralatan berkenaan dalam Muzakarah Khas Majlis Fatwa Negeri Sabah.

Tahniah di atas peranan terbaik yang telah dimainkan oleh Institusi Mufti negeri di bawah bayu ini.

Sehubungan itu, kami I-medik Sabah komited memberikan kesedaran dalam program Say No To Vape yang diadakan di sekolah-sekolah. Program yang terdekat akan diadakan di SMK Telipok pada 1 Februari.


Sunday, June 14, 2015

Seminar Fiqh Ramadan 2015 Meriahkan Kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Lok Kawi

 

KOTA KINABALU, 15 Jun – Pertubuhan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Kota Kinabalu dengan kerjasama Markas Briged Kelima Infantri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kem Lok Kawi Kota Kinabalu telah mengadakan Seminar Fiqh Puasa Ramadan 2015, kelmarin. Program yang bermula pada jam 8 pagi di Masjid As-Salam Kem Lok Kawi itu adalah julung-julung kali diadakan dan telah dihadiri seramai 230 orang warga ATM.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah sesi forum ‘Indahnya Puasa Ramadan’ yang menampilkan Leftenan Mohammad Sufian bin Sahak, pegawai agama ATM dan Ustaz Sarip bin Adul, pensyarah di Universiti Malaysia Sabah, merangkap YDP ISMA Kota Kinabalu.

Ustaz Sarip dalam ucapannya berkata, “Ramadan bulan maghfirah(keampunan). Hadis-hadis sahih tentang puasa, memakmurkan malam Ramadan dengan solat tarawih dan Lailatul Qadr serta memberi makan kepada orang untuk berbuka puasa, kesemuanya tertumpu pada satu objektif yang sama iaitu supaya Allah mengampunkan dosa mereka jika mereka melakukannya dengan penuh keimanan dan pengharapan. Pengampunan dari dosa cuma akan diperlukan oleh orang yang merasakan dirinya banyak dosa. Golongan ini akan menghargai setiap saat dalam bulan Ramadan. Manakala golongan yang merasakan dirinya sedikit dosa atau yakin bahawa masuk syurga itu mudah, bulan Ramadan bagi mereka sama seperti bulan-bulan lain.”

Turut hadir pada seminar tersebut ialah Dr Mohamad Hatta Mohamad Tarmizi, pengerusi I-Medik Sabah dan Dr Fatin Nadia, pegawai pergigian di Hospital Queen Elizabeth (HQE). Dr Mohamad Hatta telah membentangkan tentang puasa Ramadan dan isu-isu perubatan yang berkenaan, manakalah Dr Fatin Nadia pula telah menyampaikan tip-tip penjagaan kesihatan mulut pada bulan Ramadan.

Selain itu, pihak pelaksana turut menjemput Unit Tabung Darah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) bagi menjayakan aktiviti derma darah sepanjang program berlangsung.

“Program ini banyak memberi input kepada semua pegawai ATM yang hadir. Semoga dengan berakhirnya program ini, kita sama-sama dapat menghayati dengan sebenar-benarnya puasa Ramadan yang bakal tiba. Dan saya berharap agar kerjasama seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Tahniah saya ucapkan buat I-Medik Sabah dan terima kasih juga buat tetamu jemputan yang lain dari ISMA, HQE dan HWKKS,” ujar Kapten Dr Nur Aina, Kor Perubatan Diraja ATM Kem Lok Kawi.

 * Layari FB ISMA Kota Kinabalu untuk gambar penuh program: Ikatan Muslimin Malaysia Kota Kinabalu