PULAU GAYA, 14 Ogos- Bersempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Kota Kinabalu telah menjayakan program ziarah raya ke Kampung Lok Baru, Pulau Gaya baru-baru ini.
Program ini merupakan yang pertama kali diadakan, bertujuan mengeratkan silaturrahim di antara ahli Wanita Isma Kota Kinabalu dan juga penduduk Pulau Gaya, Kota Kinabalu.
Ketua Wanita ISMA Kota Kinabalu, Ustazah Sakinah Shaari menyeru kepada semua untuk saling bermaafan di Hari Raya.
“Bersempena Hari Raya Aidilfitri ini, marilah kita saling bermaaf-maafan. Sebagai ibu, doakan dan maafkanlah kesalahan anak-anak walau sebesar mana pun kesalahan mereka kerana anak-anak juga manusia biasa. Begitu juga kepada jiran tetangga. Kita perlu berusaha ke arah kehidupan yang lebih harmoni dalam keluarga dan kawasan kejiranan kerana itulah yang dituntut oleh Allah dan Rasul-Nya,” katanya.
Pada masa yang sama ahli Wanita Isma Pulau Gaya, Hajah Saodah berharap agar program ini dapat dijalankan pada mas yang akan datang.
“Terima kasih kepada Wanita ISMA Kota Kinabalu kerana sanggup turun padang untuk bertemu dengan kami. Diharapkan program seperti ini dan pelbagai usahasama lain dapat dijalankan lagi pada masa hadapan bagi mengeratkan silaturrahim sesama kita seterusnya menegakkan lagi syiar Islam di sini,” ujarnya.
Antara aktiviti yang telah dijalankan sepanjang program ziarah raya tersebut adalah sesi tazkirah berkaitan nikmat bersyukur, redha ibu bapa dan kepentingan menuntut ilmu oleh Ustazah Syifa’ Sarip, graduan Darul Quran merangkap AJK Wanita ISMA Kota Kinabalu.

No comments:
Post a Comment